Kamus Al-Mujid mendefinisikan “Tidak menerima (menolak) realiti kebenaran, sedangkan telah jelas terbentang buktinya ; semata-mata kerana condong kepada satu-satu pihak”.
Kedua-dua kamus tersebut jelas menunjukkan persamaan makna taasub yang ditujukan kepada sikap fanatik dan tidak mempedulikan kebenaran walaupun sudah jelas buktinya.
Sifat taasub cukup dicela oleh Islam, kerana ia jelas merugikan diri dan masyarakat. Dalam sejarah Islam itu sendiri telah memperlihatkan kesan daripada sifat taasub. Pada hari ini umat islam juga telah berpecah belah dengan begitu kronik akibat daripada sikap mereka sendiri yang begitu taasub.
Allah memberi ingatan dalam firmannya yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang membahagi-bahagikan agamanya dan menjadi beberapa golongan yang bercerai-berai, tiadalah engkau ikut serta dengan mereka sedikit pun. Urusan mereka hanya (terserah) kepada Allah, nanti Allah akan memberitakan kepada mereka apa-apa yang telah mereka kerjakan.” (Al-An’am 159).
Dalam kontak negara kita sekarang, taasub kepada pemimpin dan ideologi tertentu merupakan senario yang amat membimbangkan. Jika ia tidak segera dibendung, sudah tentu akhirnya menjadi barah yang bertambah sukar lagi untuk diubati. Malah umat Islam di negara ini akan bertambah jauh daripada kebenaran dan terus berpecah belah sampai keakhirnya.
Islam tetap ada cara tersendiri untuk menangani permasalahan ini. Antaranya, peringatan Allah dengan firman-Nya ini “Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta pertanggungjawaban.” (Al-Isra 36).
Dengan amat jelas ayat diatas meminta agar kita sebagai umat Islam sentiasa berdiri atas landasan ilmu pengetahuan. Tanpa ilmu pengetahuan, kita akan mudah terjerumus kepada sifat tesebut. Manakala, ilmu pengetahuan pula, semestinya disuluh dengan cahaya Al-Quran dan sunnah nabawi, agar kita sentiasa berdiri atas landasan ilmu yang berpandukan kepada kebenaran.
Umat Islam yang dihinggapi penyakit taasub adalah kerana kesan daripada perbuatan mereka sendiri yang kurang berkeinginan mencari ilmu pengetahuan yang berasaskan al-Quran da As-Sunnah, serta lemah dalam membuat penyelidikan dan kajian terhadap sesuatu perkara yang sedang mereka hadapi.
Golongan taasub ini, lebih gemar menerima apa-apa sahaja orang perkatakan, tanpa mereka sendiri cuba mencari kepastian dengan mengkaji dan merujuk kepada kitab-kitab muktabar yang menjadi rujukan umat Islam sepanjang zaman. Mereka lebih gemar bertaklid dan mengikut secara membabi-buta apa-apa sahaja yang diperkatakan oleh golongan dan pemimpin tertentu sahaja. Tanpa mempedulikan soal kebenaran. Untuk mengatsi perkara ini, umat Islam haruslah meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dari semasa ke semasa, sesuai dengan sabda Rasulullah, “menuntut ilmu adalah wajib atas tiap-tiap orang Muslim.” (Riwayat Ibn Adiy).
Sedikit sebayak gejala ini dapat diatasi dengan cara meninggalkan pujian atau sanjungan yang berlebihan kepada individu atau golongan tertentu. Kerana sikap terlalu memuji atau menyanjung ini akan menyebabkan lahirnya sikap taasub atau fanatik di dalam diri kita sedikit demi sedikit. Kurang memerhati dan tanpa kita sedari, kita telah mempertahankan kebatilan yang dilakukan oleh seseorang itu, yang selama ini amat kita puji dan lagi kita sanjung. Perkara semacam ini senang berlaku, kerana puncanya daripada sikap kita sendiri yang terlalu mudah mempercayai dengan pujian dan sanjungan orang ramai kepada seseorang individu atau golongan itu secara berlebih-lebihan.
Sebagai satu contoh, jika kita terlalu berlebihan dalam memuji dan menyanjung seorang ahli politik tanah air kemudian pemimpin yang kita sanjong itu didapati bersalah kerana salah penggunaan kuasa, kita tidak mungkin percaya sama sekali, malah berkemungkinan besar kita akan mempertahankannya dengan pelbagai alasan, seperti beliau mungkin dianiayai atau dikhianati oleh orang-orang tertentu atau kerajaan pemeritah dan sebagainya. Tanpa kita sedari, kita telah pun taasub atau fanatik dengan pemimpin itu. Kerana apa? kerana sudah sekian lama kita menyanjung dan memujinya secara berlebih-lebihan sebagai seorang pemimpin politik yang sebenar-benar pemimpin yang kita sayangi.
Islam membenarkan pujian serta sanjungan kepada individu atau golongan tertentu selagi mana, pujian atau sanjungan tersebut tidak mengandungi pendustaan, melalaikan dan menimbulkan fitnah kepada orang yang disanjung dan dipuji tersebut.
No comments:
Post a Comment