Tuesday, November 3, 2009

KES LIWAT : ANWAR TAMBAH DERITA SAIFUL

Mahkamah: Saya hadir dan bersedia, Tertuduh minta TANGGUH lagi

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Hari ini, buat pertama kalinya, saya memberanikan diri hadir ke Mahkamah bagi melihat sendiri perkembangan kes saya.

Namun, malangnya, disebabkan dolak dalih tertuduh, kes ditangguhkan lagi ke 23hb Nov dimana Mahkamah menetapkan pendengaran semula permohonan tertuduh untuk GUGURkan kes sebelum bicara, yang sepatutnya didengar hari ini.

Terus terang, saya amat kecewa dengan dolak dalih tertuduh untuk melengahkan perbicaraan ini lagi.

Walaubagaimanapun, saya redha dan saya akan terus berusaha dan bersabar. Ia tidak sesekali melemahkan semangat dan saya tidak akan menyerah kalah.

Disini, saya ingin maklumkan pada anda semua bahawa saya sudah lama bersedia untuk beri keterangan, pada bila-bila masa, walaupun jika mahkamah menetapkan perbicaraan dimulakan pada esok hari, saya sudah bersedia.

Saya mohon agar pihak yang terlibat didalam kes saya ini dapat mempercepatkan prosiding agar saya dapat memberi keterangan secepat mungkin tanpa perlu menunggu lebih lama lagi.

Sudah hampir satu setengah tahun saya, tunang tersayang dan seluruh keluarga bersabar menunggu hari perbicaraan sebenar untuk kebenaran ditegakkan.

Saya yakin bahawa masyarakat, tidak kira samaada yang percaya atau tidak, sudah lama menunggu untuk perbicaraan sebenar dimulakan dan di adili.

Perbicaraan utama adalah platfom yang adil dan terbaik untuk mana-mana pihak mencabar apa jua bukti dan keterangan yang akan saya berikan.

Akhir kalam, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak memberi sokongan moral pada saya, termasuk rakan-rakan bloggers, forum dan rakan-rakan di laman-laman sosial seperti Facebook.

Kepada Allah saya berserah...

Yang HAK pasti BERDIRI, Yang BATIL pasti JATUH!


No comments:

Post a Comment