Thursday, May 27, 2010

RAMAI NAK JADI HERO...


PERGOLAKKAN DALAMAN ISTANA KELANTAN - KENAPA PILIH JALAN SEMAKIN SUKAR?

SEMUA pihak digesa agar menghormati "kesendirian" (privacy) Istana Kelantan dan tidak cuba mengambil kesempatan daripada krisis yang berlaku sekarang untuk tujuan kepentingan diri atau kumpulan.

Meskipun Raja-Raja Melayu di Malaysia merupakan raja berperlembagaan, namun istana mereka dikawal oleh tradisi dan budaya yang tersendiri, yang tidak sama dengan tradisi dan budaya yang mengawal istana dan raja-raja di negara-negara lain, misalnya di England.

Melibatkan raja yang memerintah dengan mahkamah, meskipun daripada aspek tertentu perundangan merupakan sesuatu yang mungkin boleh dilakukan, namun dari segi tradisi dan budaya ia adalah suatu tindakan yang terpelanting jauh daripada adat dan tatasusila bangsa Melayu.

Merujuk keputusan penyemakan kes hak melawat suami oleh Che Puan Elia Suhana oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan, suka saya memberi pendapat bahawa berasaskan hukum dan budaya Che Puan perlu menangguhkan dulu acara lawatan berkenaan sehingga kes dakwaan cerai oleh Tuanku Ismail Petra selesai dibicarakan.

Mana tahu kalau-kalau talak tiga sudah jatuh sebelum ini dan mereka berdua tidak lagi merupakan suami isteri.

Dalam syariat Islam, talak akan jatuh sebaik saja dilafazkan. Walaupun undang-undang keluarga Islam Kelantan mengatakan ia mesti disahkan oleh mahkamah kalau ia dijatuhkan di luar mahkamah tetapi undang-undang juga tidak menafikan bahawa talak seperti itu berlaku dari segi agama.

Memaksa istana untuk menerima lawatan beliau dalam keadaan seperti ini membangkitkan berbagai implikasi, termasuk hukum, budaya dan malah mungkin undang-undang sendiri.

Saya berpendapat, mahkamah yang memutuskan semakan itu tidaklah berniat untuk memaksa Istana Mahkota Kelantan menerima Che Puan masuk mengadap Tuanku, kerana Istana tersebut adalah tempat bersemayam Tuanku dan Permaisuri Baginda dan merupakan kediaman persendirian yang tidak boleh diceroboh kalau tidak dibenarkan masuk, apa lagi untuk mengatakan menghalang kemasukan Che Puan untuk mengadap Baginda.

Orang biasa pun mempunyai hak untuk mempertahankan kediaman masing-masing dari dimasuki oleh orang yang mereka tidak suka.

Ternyata sekali lawatan yang tidak dijemput ke Istana Mahkota Kelantan itu merupakan tindakan di luar budaya dan kesopanan Melayu dan sepatutnya dielakkan agar semua pihak dapat menjaga maruah masing-masing.

Dari segi agama juga mungkin ada persoalan yang timbul, kerana dari segi agama sebelum kita bertandang perlu meminta izin terlebih dahulu.

Saya bersedia untuk bertemu para peguam bagi kedua-dua belah pihak bagi membincangkan perkara tersebut agar dapat diselesaikan dengan saksama berdasarkan hukum dan adat Melayu.

Sebagai seorang rakyat Negeri Kelantan saya rasa berkewajipan untuk memberi pandangan ini dan mengharapkan ia mendapat perhatian semua pihak agar dapat diselesaikan dengan saksama berdasarkan hukum dan adat Melayu.

Sebagai seorang rakyat Negeri Kelantan saya rasa berkewajipan untuk memberi pandangan ini dan mengharapkan ia mendapat perhatian semua pihak agar maruah Istana dan Raja-raja Melayu dapat diselamatkan.

Kenyataan Prof Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid
Kuala Lumpur

Sesungguhnya sebelum ini kami di the Kelantan Insider, sebagaimana ramai rakyat Kelantan lainnya, amat menghormati Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi sebagai seorang tokoh ilmuan yang memperolehi kelulusan yang tinggi di dalam bidang syariah dari Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Universiti 'Ain Syams, Universiti Al-Azhar, Universiti Kent dan Universiti Malaya, apa lagi dengan jawatan-jawatan beliau sebagai bekas Pengarah Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya dan sebagai Timbalan Dekan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tidak cukup dengan itu, beliau juga merupakan menantu kepada bekas Mufti Kerajaan Kelantan, iaitu Dato’ Mohd Nor Ibrahim, di samping turut merupakan penerima Anugerah Perdana Tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah pada 26 Februari 2010.

Bagaimanapun, penghormatan tinggi kami dan ramai rakyat Kelantan lainnya ke atas Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi terhakis teruk lantaran tulisan beliau di dalam ruangan forum akhbar Utusan Malaysia pada hari ini bertajuk “Che Puan, bersabarlah” yang kandungannya sangat mengejutkan dan sangat bertentangan dengan tahap keilmuan yang dimiliki oleh beliau.

Pertamanya, sebagai seorang tokoh ilmuan yang memperolehi kelulusan yang tinggi di dalam bidang syariah, Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi sepatutnya mengetahui bahawa apa yang diperkatakan oleh beliau itu tidak sepatutnya diperkatakan di dalam satu forum terbuka kerana ia merupakan satu perkara yang subjudice dan boleh mengganggu proses perbicaraan yang sedang berjalan di mahkamah syariah. Beliau sepatutnya dapat bersabar untuk menunggu keputusan perbicaraan di mahkamah syariah sebelum memberikan sebarang pandangan kepada umum.

Apabila Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi memperkatakan mengenai perkara yang masih dibicarakan di mahkamah syariah, maka gambaran yang kita dapat di dalam fikiran kita ialah bahawa beliau sudah tidak lagi mempunyai keyakinan ke atas proses kehakiman di mahkamah syariah. Lebih malang lagi, tindakan beliau ini memberi gambaran kepada kita bahawa beliau seolah-olah mahu mengajar rakyat supaya tidak menghormati proses kehakiman di mahkamah syariah. Tawaran terbuka beliau di dada akhbar untuk menjadi orang tengah bagi menjernihkan suasana dengan menyatakan kesediaan untuk menemui peguam kedua-dua belah pihak yang bertelagah, walaupun mungkin mempunyai niat yang baik, adalah suatu perkara yang jelas tidak betul. Tawaran ini tidak sepatutnya dibuat oleh beliau kerana ia menunjukkan bahawa beliau seolah-olah tidak yakin dengan, dan mahu mengambil-alih peranan, hakim mahkamah syariah sedangkan beliau jelas tidak mempunyai sebarang kuasa atau mandat untuk berbuat demikian.

Kami di the Kelantan Insider sebenarnya tidak berniat untuk mengulas perkara ini kerana sebodoh-bodoh kami pun kami mengetahui bahawa perkara yang masih di dalam proses perbicaraan di mahkamah syariah tidak sepatutnya diperkatakan di dalam satu forum terbuka. Walaupun begitu, disebabkan Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi telah dengan beraninya memperdagangkan martabatnya untuk memperkatakannya maka kami juga akan turut dengan beraninya memperkatakan perkara yang sama walaupun hanya di dalam konteks mengulas apa yang beliau perkatakan sahaja.

Kepada Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi, kami di the Kelantan Insider tetap mengalu-alukan hasrat anda untuk menjadi orang tengah walaupun ia jelas sekali tidak kena pada tempatnya. Walaupun begitu, jika anda betul-betul mahu menjadi orang tengah, anda hendaklah terlebih dahulu membuktikan keupayaan anda untuk bersifat adil kepada kedua-dua belah pihak. Tanyalah diri anda sendiri, adilkah namanya untuk anda memberi pandangan dan membuat kesimpulan mengenai sesuatu perkara dengan hanya menemui pihak yang tertentu sahaja tanpa menemui pihak yang lain? Sekiranya anda dapat beberapa kali menemui DYMM Raja Perempuan Kelantan mengapakah anda langsung tidak berusaha untuk menemui Cik Puan Elia Suhana bagi membolehkan anda melihat perkara ini dari perspektif yang lain pula?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Gesaan anda agar semua pihak menghormati "kesendirian" (privacy) Istana Kelantan dan tidak cuba mengambil kesempatan daripada krisis yang berlaku sekarang untuk tujuan kepentingan diri atau kumpulan mereka sangatlah kami di the Kelantan Insider hormati. Walaupun begitu, gesaan anda ini sebenarnya menimbulkan satu persoalan yang besar bagi kami yang tidak dapat memahami apakah yang anda cuba maksudkan melaluinya. Apakah anda sudah lupa apa yang telah anda sembahkan kepada YMM Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, sewaktu anda bersama-sama 12 lagi ahli Jawatankuasa Ulama’ Negeri Kelantan menghadap Baginda pada pukul 10.30 malam 3 Mac 2010 di Hotel Grand Hyatt, Singapura? Apakah anda juga sudah lupa apa yang telah anda kemukakan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Ulama’ Negeri Kelantan pada 4 April 2010 yang lalu? Jika anda memang sudah benar-benar berubah fikiran, apakah yang menyebabkan anda menjadi sedemikian rupa? Apakah ia berpunca dari tawaran jawatan Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan yang dikemukakan oleh pihak tertentu (yang sebenarnya tidak lagi mempunyai kuasa untuk berbuat demikian) kepada anda baru-baru ini? Sebagai seorang ilmuan Islam, anda tidak boleh bersikap “melempar batu sembunyi tangan”. Jika anda betul-betul ikhlas dan berani, kami mencabar anda untuk tidak bersikap membutakan mata dan memekakkan telinga, sebaliknya silalah dedahkan apa yang sebenarnya sedang berlaku kepada rakyat jelata. Sebagai seorang ilmuan Islam, apakah anda tidak percaya kepada qadha’ dan qadar Tuhan? Pernahkah anda menyelami hati sanubari YMM Pemangku Raja Kelantan serta mendengar rintihan Baginda di atas segala apa yang berlaku sekarang? Jika anda ingin menjaga nama baik dan maruah KDYMM Tuanku Ismail Petra, maka YMM Pemangku Raja Kelantan sebagai anak sulung Baginda lebih-lebih lagilah mempunyai hasrat sebegitu. Ingatlah, anda hanyalah mata yang memandang tetapi YMM Pemangku Raja Kelantan adalah bahu yang memikul.

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Jika sekalian rakyat jelata dapat melihat dengan jelas apa yang sebenarnya sedang berlaku di dalam Istana Kelantan pada waktu ini, maka mengapakah pula anda yang berilmu tinggi ini menjadi begitu buta untuk melihat bahawa diri atau kumpulan yang anda sokong secara membabi-buta inilah yang sebenarnya menjadi punca mengapa "kesendirian" (privacy) Istana Kelantan tidak lagi dihormati? Begitu juga, jika sekalian rakyat jelata dapat melihat dengan jelas apa yang sebenarnya sedang berlaku di dalam Istana Kelantan pada waktu ini, maka mengapakah juga anda yang berilmu tinggi ini menjadi begitu buta untuk melihat bahawa diri atau kumpulan yang anda sokong secara membabi-buta inilah yang sebenarnya cuba mengambil kesempatan daripada krisis yang berlaku sekarang untuk tujuan kepentingan diri atau kumpulan mereka?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Kami di the Kelantan Insider juga dapat menerima kenyataan anda bahawa melibatkan raja yang memerintah dengan mahkamah adalah suatu tindakan yang terpelanting jauh daripada adat dan tatasusila bangsa Melayu. Walaupun begitu, jika sekalian rakyat jelata dapat melihat dengan jelas apa yang sebenarnya sedang berlaku di dalam Istana Kelantan pada waktu ini, maka mengapakah pula anda yang berilmu tinggi ini menjadi begitu buta untuk melihat bahawa diri atau kumpulan yang anda sokong secara membabi-buta inilah yang sebenarnya melakukan suatu tindakan yang bukan sahaja terpelanting jauh daripada adat dan tatasusila bangsa Melayu malah mendedahkan Sultan Kelantan, KDYMM Tuanku Ismail Petra, kepada keaiban di kalangan rakyat jelata?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Anda pernah menyebut di dalam buku anda yang bertajuk “Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah Di Malaysia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001, halaman 365)” bahawa perceraian merupakan tindakan halal yang paling dibenci oleh Allah dan bahawa, berasaskan kedudukan ini, perceraian perlu dilakukan dengan adil dan para suami seharusnya tidak bersifat keterlaluan dalam menggunakan haknya itu. Tanyalah diri anda sendiri, apakah tidak mengaibkan kepada KDYMM Tuanku Ismail Petra sebagai ketua agama Islam di negeri Baginda untuk didakwa oleh pihak ketiga sebagai bersifat keterlaluan dalam menggunakan hak Baginda apabila Baginda digambarkan kepada rakyat jelata sebagai tergamak untuk menceraikan isteri kedua Baginda dengan talak tiga? Tanyalah diri anda sendiri juga, sekiranya mahkamah syariah memutuskan bahawa lafaz cerai yang didakwa dibuat oleh Baginda ke atas isteri kedua Baginda itu adalah sah, maka apakah tidak lebih mengaibkan lagi kepada KDYMM Tuanku Ismail Petra sebagai ketua agama Islam di negeri Baginda untuk berhadapan dengan kemungkinan didakwa di bawah enakmen jenayah syariah negeri Baginda sendiri di atas kesalahan menceraikan isteri kedua Baginda ini di luar dan tanpa mendapat kebenaran mahkamah syariah?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Anda juga menggesa Cik Puan Elia Suhana menangguhkan dulu hasrat beliau untuk melawat KDYMM Tuanku Ismail Petra sehingga kes dakwaan cerai oleh Baginda selesai dibicarakan kerana “mana tahu kalau-kalau talak tiga sudah jatuh sebelum ini dan mereka berdua tidak lagi merupakan suami isteri”. Sewaktu anda menyebut perkataan “kalau-kalau” ini, apakah anda sebagai seorang ilmuan Islam sudah lupa kepada akhiran sebuah hadith yang telah dikeluarkan oleh Muslim yang bermaksud: Dan jika mengenai akan dikau oleh suatu kemudaratan atau luput faedah maka janganlah engkau berkata “kiranya aku perbuat begini nescaya jadi ia begini begini” dan tetapinya kata olehmu “telah ditakdirkan oleh Tuhan dan apa yang dikehendaki oleh Tuhan berlaku ia” kerana bahawasanya kata engkau (kiranya atau jikalau atau kalau atau jika) itu membukakan amalan syaitan seperti menyesal hati atas yang luput atau berdukacita atau lainnya.

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Sewaktu anda menyebut perkataan “kalau-kalau” ini, apakah anda sebagai seorang ilmuan Islam sudah lupa kepada kandungan sepotong ayat al-Qur’an yang bermaksud: Dan kebanyakan mereka tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. (Surah Yunus: Ayat 36)

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Sewaktu anda menyebut perkataan “kalau-kalau” ini juga, apakah anda sebagai seorang ilmuan Islam sudah lupa kepada kandungan sepotong lagi ayat al-Qur’an yang bermaksud: Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). (Sural al-Najm: Ayat 28)

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Sesungguhnya kami di the Kelantan Insider berpendapat bahawa pandangan anda di atas, sekiranya diguna pakai, mempunyai potensi yang besar untuk menimbulkan kecelaruan, kekecohan dan kehuruharaan di dalam masyarakat kerana ia dengan sekaligus membuka ruang untuk penganiayaan dilakukan ke atas mana-mana pasangan suami isteri beragama Islam. Sesiapa sahaja yang menyimpan perasaan hasad dengki boleh memisahkan mana-mana pasangan suami isteri beragama Islam ini dengan membuat aduan di mahkamah syariah bahawa beliau mendengar si suami melafazkan cerai ke atas si isteri kerana, berdasarkan kepada pandangan anda di atas, sebelum mahkamah syariah memutuskan kesahihan lafaz cerai tersebut maka pasangan suami isteri beragama Islam ini sudah tidak lagi mempunyai hak sebagai seorang suami atau sebagai seorang isteri. Apakah tidak benar bahawa hak seseorang sebagai seorang suami atau sebagai seorang isteri kekal sehingga mahkamah syariah memutuskan bahawa lafaz cerai yang didakwa dibuat oleh si suami ke atas si isteri adalah sah dan perceraian telah berlaku?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Jika sekalipun dakwaan cerai oleh KDYMM Tuanku Ismail Petra ini benar, apakah anda benar-benar percaya bahawa adalah menjadi satu kesalahan dari segi hukum dan budaya untuk Cik Puan Elia Suhana beserta rombongan beliau melawat Baginda yang masih lagi berada di dalam kegeringan?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Anda menyebut mengenai betapa lawatan yang tidak dijemput ke Istana Mahkota Kelantan oleh Cik Puan Elia Suhana itu merupakan tindakan di luar budaya dan kesopanan Melayu serta menyalahi kehendak agama yang mahukan kita meminta izin terlebih dahulu sebelum kita bertandang kerana Istana Mahkota Kelantan merupakan “kediaman persendirian yang tidak boleh diceroboh kalau tidak dibenarkan masuk”. Kami di the Kelantan Insider dengan ini mengakui bahawa tanah tapak Istana Mahkota Kelantan pada waktu ini telah didaftarkan di atas nama DYMM Raja Perempuan Kelantan. Walaupun begitu, kami juga berpendirian bahawa Istana Mahkota Kelantan tidaklah boleh dikatakan sebagai “kediaman persendirian” sepenuhnya kerana banyak dana dan harta kerajaan yang telah ditumpahkan di situ, apatah lagi apabila kebanyakan daripada kakitangan yang bertugas di situ juga adalah kakitangan kerajaan. Sekali lagi ingin kami tegaskan di sini bahawa, sebagai seorang Sultan, KDYMM Tuanku Ismail Petra bukanlah sekadar menjadi milik peribadi sesiapa sahaja kerana Baginda juga sebenarnya adalah menjadi milik seluruh rakyat jelata. Selaras dengan itu, maka ruang yang luas sepatutnya diberikan bukan sahaja kepada pakar-pakar perubatan mahupun para pembesar negeri dan negara tetapi juga kepada seluruh rakyat jelata untuk menziarahi Baginda dari masa ke semasa. Untuk itu, sukalah kami mencadangkan agar Baginda tidak lagi ditempatkan di apa yang dikatakan sebagai “kediaman persendirian” ini dan sebaliknya dipindahkan ke “kediaman kerajaan” sepenuhnya tanpa mengira sama ada ia adalah Istana Negeri, Istana Balai Besar atau Istana Kota Lama.

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Sesungguhnya, kami di the Kelantan Insider tidak dapat memahami mengapa anda sebagai seorang tokoh ilmuan yang memperolehi kelulusan yang tinggi di dalam bidang syariah lebih banyak mengasaskan gesaan anda supaya Cik Puan Elia Suhana Suhana menangguhkan dulu hasrat beliau untuk melawat KDYMM Tuanku Ismail Petra kepada keperluan untuk menghormati budaya dan kesopanan Melayu sedangkan anda sepatutnya mengasaskannya kepada keperluan untuk mematuhi syariah. Ingin sekali kami mengemukakan satu pertanyaan kepada anda: Yang mana satukah pada pandangan anda lebih perlu diberikan keutamaan oleh orang Melayu-Islam di antara keperluan untuk mematuhi perintah mahkamah syariah dan keperluan untuk menghormati budaya dan kesopanan Melayu?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Anda pernah menyebut di dalam buku anda yang bertajuk “Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah Di Malaysia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001, halaman 281-282)” mengenai betapa Fasal 8 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985 memperuntukkan bahawa sesiapa yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana perempuan bersuami atau mana-mana lelaki beristeri supaya bercerai atau mengingkari kewajipan atau tanggungjawab di antara satu sama dengan yang lain adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. Sebagai seorang tokoh ilmuan yang memperolehi kelulusan yang tinggi di dalam bidang syariah, tidakkah anda terfikir bahawa kewajipan anda adalah untuk memperkatakan mengenai perkara sebegini berbanding dengan untuk memperkatakan mengenai keperluan untuk menghormati budaya dan kesopanan Melayu?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Anda juga pernah menyebut di dalam buku anda yang bertajuk “Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah Di Malaysia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001, halaman 274 dan 354-355)” mengenai betapa Seksyen 97(b) Enakmen Keluarga Islam Kelantan 1983 memperuntukkan bahawa seseorang yang memaksa seseorang lain berkahwin tanpa persetujuannya adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali kerana kesalahan ini adalah jelas berasaskan larangan menceroboh hak serta kebebasan orang lain sebagaimana yang terdapat dalam al-Qur’an. Sebagai seorang tokoh ilmuan yang memperolehi kelulusan yang tinggi di dalam bidang syariah, tidakkah anda terfikir bahawa kewajipan anda adalah untuk memperkatakan mengenai perkara sebegini berbanding dengan untuk memperkatakan mengenai keperluan untuk menghormati budaya dan kesopanan Melayu?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Harap maaf, tetapi sesungguhnya tulisan anda di dalam ruangan forum akhbar Utusan Malaysia pada hari ini bertajuk “Che Puan, bersabarlah” membuatkan kami di the Kelantan Insider, sebagaimana ramai rakyat Kelantan lainnya, tidak lagi menghormati anda sebagai seorang tokoh ilmuan walaupun anda memperolehi kelulusan yang tinggi di dalam bidang syariah dari Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Universiti 'Ain Syams, Universiti Al-Azhar, Universiti Kent dan Universiti Malaya, walaupun anda pernah menjadi Pengarah Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya dan kini menjadi Timbalan Dekan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, walaupun anda juga merupakan menantu kepada bekas Mufti Kerajaan Kelantan, iaitu Dato’ Mohd Nor Ibrahim, dan walaupun anda turut merupakan penerima Anugerah Perdana Tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah pada 26 Februari 2010.

Kepada Cik Puan Elia Suhana pula, kami di the Kelantan Insider sangat menghargai pengorbanan anda meletakkan jawatan sebagai seorang pegawai tinggi kerajaan semata-mata untuk berkongsi kehidupan dengan KDYMM Tuanku Ismail Petra. Selaku isteri Baginda, anda sesungguhnya mempunyai taraf yang tinggi di sisi rakyat jelata, tetapi apabila taraf tinggi anda ini tidak dihormati oleh pihak-pihak tertentu maka biarlah pihak peguam dan pembantu peribadi anda sahaja berurusan dengan mereka. Selain itu, berbincanglah juga dengan Pengelola Istana Diraja mengenai cara terbaik untuk menangani perkara ini. Harap anda dapat bersabar buat sementara waktu. Percayalah, Allah tetap akan bersama dengan orang-orang yang benar.

Semoga Kelantan dan segala penghuninya sentiasa berada di dalam peliharaan Allah.



Che Puan, bersabarlah
Utusan Malaysia
25 Mei 2010


No comments:

Post a Comment