Tuesday, June 1, 2010

KESAN ISLAM TIDAK BERSATU



Protes Gaza: Lelaki Arab kelar diri depan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur

Suasana depan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur kecoh seketika bila seorang lelaki Arab dipercayai warga Palestin kelar badannya dengan pisau kerana protes serangan tentera Israel keatas kapal konvoi misi kemanusiaan Gaza.

Kejadian berlaku pada jam 11.40 pagi sejurus Presiden Perkasa,Datuk Ibrahim Ali selesai mengetuai kira-kira 300 orang wakil pelbagai NGO mengadakan demo depan kedutaan.

Mereka adakan demo itu mulai jam 11 pagi.

Ibrahim juga telah menyampaikan nota bantahan kepada kedutaan itu.



Orang ramai telah bertindak segera untuk mengelak dari dia mencederakan lagi dirinya.Badan dan tangannya berlumuran darah.

Polis terus mengejarkannya ke hospital untuk rawatan.

Pada jam 12 tengahari pula seramai 80 orang dari pakatan rakyat diketuai oleh Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa sampai untum menyampaikan nota bantahan.Turut serta Tian Chua,Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu di pejabat perwakilan Bangsa-bangsa Bersatu di Kuala Lumpur,Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mengetuai rombongan 200 orang ahli pergerakan itu menyampaikan nota bantahan.



Turut serta Naib Ketua Pemuda Datuk Razali Ibrahim.Nota berkenaan disampaikan kepada ketua perwakilan itu Kamal Malhotra.- 1/6/2010



Seluruh dunia bangkit sejurus mendapat khabar tentera rejim Israel menyerang kapal konvoi bantuan kemanusiaan anjuran Free Gaza Movement ke Gaza di perairan antarabangsa Laut Mediterranean pagi Isnin.

Jerit pekik protes dan kecaman sudah bergema di berbagai negara terhadap kekejaman terbaru negara kecil yang besar kepala itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut mengutuknya berkata serangan ini menunjukkan rejim Tel Aviv tidak menghormati langsung undang-undang antarabangsa.

Jumlah mangsa sebenar masih kabur.Namun laporan dari berbagai sumber media menyebut tidak kurang dari 10 anggota misi itu yang disertai oleh pelbagai negara terbunuh dan berpuluh cedera dalam serangan komando tentera laut Israel itu.

Ia berlaku 130 kilomiter dari pantai Gaza.

Bagi Malaysia kebimbangan kini tertumpu kepada dua rakyat negara ini - wartawan Ashwad Ismail, 25, dan jurukamera Shamsul Kamal Latip, 38 dari dari Astro Awani yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang.Nasib mereka masih belum diketahui.

Kapal itu membawa 600 anggota misi.

Ada laporan mengatakan mungkin ada beberapa orang rakyat Malaysia lain diatas kapal berkenaan.

Kapal Turki Mavi Marmara yang malang itu mendahului kapal lain dalam misi menghantar 5,000 tan bahan binaan, bekalan sekolah dan peralatan perubatan ke Semenanjung Gaza.

Bagaimanapun enam lagi rakyat Malaysia yang berada dalam satu lagi kapal, "Rachel Corrie" yang juga dalam misi serupa selamat.

Mereka terdiri tiga wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, Anggota Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria serta wartawan Halim Mohamed dan jurukamera Mohd Jufri Judin, kedua-dua dari TV3.

Israel kini cuba memberi gambaran kepada dunia bahawa anggota misi di atas kapal itu yang bertindak ganas dulu terhadap tenteranya.

Perdana Menteri yang bercakap kepada kepada wartawan selepas melancarkan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni4B) di PWTC berkata, "Saya atas nama kerajaan dan rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh rejim Tel Aviv terhadap konvoi yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza."

Beliau juga berkata seluruh dunia harus mengutuk dan mengecam tindakan rakus rejim itu.

"Saya harap insiden ini akan membawa kepada satu tindakan yang boleh membawa kepada teguran keras terhadap Israel," katanya.

Najib berkata pada masa ini beliau juga sedang menunggu butir dan maklumat sahih mengenai nasib rakyat Malaysia yang turut serta dalam konvoi itu.

Pengerusi Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang akhbarnya menegaskan beliau amat marah dengan pencabulan pasukan Israel terhadap orang yang tidak bersenjata.

“Saya pasti Israel akan kata orang ini membawa banyak senjata. Ini tidak masuk akal."Kami telah pastikan bahawa kesemuanya bukan pejuang dan mereka datang dari seluruh pelusuk dunia termasuk dari Amerika dan Eropah," katanya.

"Niat mereka sebenarnya untuk belayar dengan bot bagi menghantar bekalan ke Gaza. Mereka tahu bahawa Israel akan menghalang mereka tapi kami tidak jangka bahawa Israel akan menggunakan kekerasan termasuk menembak dengan peluru hidup," katanya.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata Malaysia mahu Israel menghentikan segera layanan buruk dan tidak berperikemanusiaan terhadap para sukarelawan dan mendesak supaya mereka dibebaskan segera.

Beliau turut meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengadakan mesyuarat tergempar berhubung perkara itu bagi membincangkan tindakan jenayah Israel terhadap para aktivitis kemanusiaan.

Agendadaily

No comments:

Post a Comment