Followers

Saturday, June 5, 2010

DAULAT TUANKU !...


Hari ini 5 Jun 2010, seluruh rakyat Malaysia merafak sembah penuh taat setia ke atas Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almahrum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang disambut setiap Sabtu minggu pertama Jun. Rakyat menzahirkan ucapan setinggi-tinggi ucapan tahniah. Semoga Allah Lanjutkan Usia Tuanku . Daulat Tuanku!



MENITI SEJARAH POLITIK DAN EKONOMI NEGARA


DARI WASIAT RAJA-RAJA MELAYU HINGGA MODEL EKONOMI BARU

WASIAT RAJA-RAJA MELAYU

1. Wasiat Raja-Raja Melayu mengandungi 7 perkara yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tanda-tangan persetujuan mereka ke atas pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5hb Ogos, 1957. 7 wasiat itu ialah;

i. Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU ( sekarang dikenali dengan nama Malaysia );

ii. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU, sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

iii. Bagi menjaga kamu dan melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

iv. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;

v. Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;

vi. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;

vii. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. ( Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak )
NEGERA MERDEKA BERPANDUKAN PERLEMBAGAAN

2. Berikutannya, pada 31hb Ogos, 1957 Malaya telah merdeka dengan perlembagaannya yang mengandungi Wasiat Raja-Raja Melayu.

3. Perlembagaan ini digubal berasaskan persetujuan Raja-Raja Melayu yang mengambilkira kepentingan berbagai kaum dan ianya juga dinamakan 'kontrak sosial'.

4. Di bawah 'kontrak sosial' inilah didapati persetujuan mengenai:

i. Raja berperlembagaan,

ii. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,

iii. Islam sebagai agama rasmi negara,

iv. Hak istimewa orang-orang Melayu

v. Demokrasi berparlimen,

vi. Dasar Ekonomi Bebas dan

vii. Kerakyatan untuk yang bukan Melayu.

KONVENSYEN PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA 1965
5. Dalam Konvensyen Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, pada tahun 1965, di bawah pimpinan Dato' Senu bin Abdul Rahman, yang saya hadir menjadi wakil Negeri Sembilan sebagai Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban Timur, para perwakilan telah diterangkan dengan jelasnya erti peruntukan-peruntukan yang ada di dalam perlembagaan.

IDE-IDE YANG TELAH DISEPAKATI
6. Ide-ide yang diketengahkan yang menjadi sebahagian dari perlembagaan adalah hasil pakatan dari berbagai kelompok di kalangan bangsa Melayu pada waktu itu. Umpamanya:

i. Kerabat di Raja telah menekan aspek kedaulatan raja-raja Melayu,

ii. Guru-guru lulusan dan yang sedang mengajar di Sultan Idris Training College telah menekankan pentingnya Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan,

iii. Alim ulama telah menyumbangkan agama Islam untuk dijadikan agama rasmi negara di dalam perlembagaan,

iv. Pegawai-pegawai kerajaan dan para profesional telah menyumbangkan bab 'hak istimewa orang-orang Melayu',

v. Semua pihak bersetuju diperkenal sistem demokrasi berparlimen sebagai sistem politik negara,

vi. Pihak peniaga, yang kebanyakannya dari kalangan bukan Melayu, menekankan pentingnya Dasar Ekonomi Bebas,

vii. Bukan Melayu dijanjikan kerakyatan.
RAJA BERPERLEMBAGAAN

7. Untuk memberi pengertian dan makna kepada erti Raja Berperlembagaan maka institusi pentadbiran negara berikutnya diberi taraf dan pengiktirafan di raja:

i. Askar dan Askar Melayu Di Raja untuk mempertahankan negara dari serangan luar negari,

ii. Polis di Raja Malaysia untuk menjaga keselamatan dalam negara,

iii. Kastam di Raja untuk memungut cukai sebagai belanja menguruskan negara,

iv. Pegawai Pentadbiran negara dilantik oleh DYMM Yang Di Pertuan Agong ( PTD ) dan Pegawai Pentadbiran Negeri Kedah, Kelantan dan Johor dilantik oleh Sultan masing-masing negeri,

v.Undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen tidak menjadi undang-undang sehingga disahkan oleh DYMM Yang Di Pertuan Agong dan Undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri tidak menjadi undang-undang sehingga disahkan oleh Raja, Sultan dan Gabenor masing-masing negeri,

vi. Untuk mentafsirkan Perlembagaan dan undang-undang negara dan negeri maka para hakim dilantik oleh DYMM YDP Agong bagi pihak Raja-Raja Melayu,

vii. Gabenor bagi negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak dilantik oleh DYMM Yang Di Pertuan Agong dengan persetujuan Raja-Raja Melayu dan DYMM Yang Di Pertuan Agong pula dipilih dari kalangan Raja-Raja, dan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja dan bersemayam di atas takhta secara bergilir, mengikut senioriti, untuk jangka-masa maksima lima tahun.
DEMOKRASI

8. Mengenai demokrasi beberapa orang wakil pemuda UMNO yang dipilih, termasuk saya, di dalam sebuah pertemuan tertutup, telah mendengar pendapat Tun Abdul Razak, mengenai demokrasi (4 v di atas). Katanya demokrasi itu hanya relevan dalam keadaan pemerintahan itu dikuasai oleh orang-orang Melayu. Apabila itu terancam maka kita tidak perlukan demokrasi. Itulah sebabnya perlu dikekalkan institusi raja.
Kita tidaklah 'naive' ( kata Tun ), untuk menerima bukan Melayu menjadi rakyat hanya untuk menyerah negara ini kepada mereka.

PERISTIWA 13 MEI, 1969

9. Kenyataan Tun Abdul Razak ini telah dibuktikan dengan pergantungan parlimen apabila berlaku peristiwa 13 Mei, 1969 apabila kuasa pemerintahan Melayu terancam. Hanya apabila tindakan-tindakan yang diperlukan telah diambil atau siap dirancang barulah kuasa parlimen dikembalikan. Ini telah dilakukan oleh Tun sendiri dengan mengadakan semula pilihanraya pada tahun 1974.

10. Malahan, lebih awal dari peristiwa 13 Mei, 1969 YTM Tunku Abdul Abdul Rahman telah mengeluarkan Singapura dari Malaysia pada 9 Ogos, 1965. Sebab Tunku mengeluarkan Singapura dari Malaysia telah dinyatakan sendiri oleh Lee Kuan Yew kepada Perdana Menteri Britain di waktu itu Sir Harold Wilson sebagaiman dilaporkan oleh setiausaha Harold Wilson di dalam bukunya 'Inside Number 10'. Dalam buku ini Marcia William ' .... revealed that Lee, in sorrow, complimented Tunku Abdul Rahman for his foresight in releasing Singapore before Lee Kuan Yew could replace the Tunku from the office of the Prime Minister of Malaysia.' Pendek kata kita akan buat apa saja untuk mengekalkan kuasa Melayu.

KONGRES EKONOMI BUMIPUTRA PERTAMA 1965

11. Dalam Kongres Ekonomi Bumiputra yang pertama diadakan pada tahun 1965 juga, iaitu tahun yang sama dengan tahun diadakan Konvensyen Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya telah hadir mewakili Negeri Sembilan sebagai Setiausaha Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan yang dipimpin oleh Dato' Jaafar Talib, pemilik Sungei Ujung Store di Seremban.

12. Kegelisahan orang-orang Melayu jelas tertumpu kepada jurang perbezaan ekonomi antara orang-orang Melayu dengan bukan Melayu di waktu itu. Sekitar masa yang sama Tan Sri Hanafiah Hussain, selaku Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia sekaligus menjadi Pengurus Besar pertama Felda dan Bendahari Agung UMNO telah berucap di dalam Parlimen, dan menimbulkan kemarahan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, apabila beliau bandingkan projek Felda untuk orang-orang Melayu sebagai memberi hanya sebuah tandas untuk orang-orang Melayu sementara rumah diduduki oleh orang lain.

13. Saya masih teringat peristiwa Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Selangor YM Raja Nasron telah menghambat keluar Tun Dr. Ismail, selaku Gabenor Bank Negara, kerana beliau telah menentang cadangan persidangan untuk menubuhkan Bank Bumiputra sebagai sumber modal untuk orang-orang Melayu.

DASAR EKONOMI BEBAS DIKECAM

14. Dasar Ekonomi Bebas juga telah dikecam hebat dalam Kongres ini kerana katanya, antara lain, susunan rangkaian agensi perdagangan dan perusahaan di negara ini, yang telah tersusun dengan rapi sejak zaman penjajah, tidak memberi kebebasan kepada kaum Bumiputera untuk bergerak dalam bidang yang sudah dimonopolikan. Contohnya, pihak Bumiputera tidak boleh menjadi ejen pengedaran rokok Rothmans kerana syarikat ini telah pun dengan bebas, dan tidak boleh diganggu oleh kerajaan, memilih bukan Bumiputeraa sahaja untuk menjadi ejennya di Negeri Sembilan. Mereka tidak boleh disuruh melantik ejen yang kedua bagi Negeri Sembilan dari kalangan Bumiputera, yang kuat merokok pada waktu itu, kerana kerajaan mengamalkan Dasar Ekonomi Bebas yang bererti pihak swasta bebas dari gangguan atau petunjuk dan arahan kerajaan.

BUKU DILEMA MELAYU

15. Memandang kepada kegelisahan orang-orang Melayu yang bertambah membara dibakar pula dengan terbitan buku Dilema Melayu ( Malay Dilema ) yang dikarang oleh Tun Dr. Mahathir, Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia pada waktu itu, maka, sebab berlakunya peristiwa 13 Mei, 1969, telah dianalisakan sebagai berpunca dari masalah perbezaan ekonomi.

DASAR EKONOMI BARU ( 1971 - 1990 )

16. Penyelesaiannya ialah dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru sebagai ganti kepada Dasar Ekonomi Bebas. Dasar Ekonomi Baru dikatakan boleh menjamin kewujudan Dasar Ekonomi Bebas jika negara aman apabila kalangan Bumiputera juga bebas untuk terlibat dalam segala bidang kegiatan ekonomi.

17. Memang benar kata Presiden MCA Dr. Chua Soi Lek bahawa Dasar Ekonomi Baru tidak disebut di dalam perlembagaan. Soi Lek lupa, mungkin kerana kelalaiannya, bahawa Dasar Ekonomi Baru adalah tunjangan dari Hak Istimewa Orang-Orang Melayu sebagai satu peruntukan dalam perlembagaan yang terkandung di dalam Wasiat Raja-Raja Melayu.

BAHASA MANDARIN TIADA DI DALAM PERLEMBAGAAN

18. Mengenai Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan pemuda, dalam konvensyen tahun 1965, telah dijelaskan bahasa bahasa ibunda kaum-kaum lain juga dijamin oleh perlembagaan. Kita mengambil maklum bahawa bahasa Mandarin bukanlah bahasa ibunda kaum China yang datang dari selatan China, samada digelar imigran atau tidak. Oleh itu Dr. Choi Soi Lek hendaklah beringat jika DEB tidak disebut didalam perlembagaan begitu juga bahasa Mandarin tidak disebut dalam perlembagaan. Sementara DEB merupakan manifestasi Hak Istimewa Orang-orang Melayu bahasa Mandarin bukanlah manifestasi bahasa ibunda imigran dari selatan negara China. Sementara bahasa ibunda itu adalah bahasa keturunan, dan satu hak yang patut dipertahankan, bahasa Mandarin pula hanya memperkuatkan identiti imigran yang orang-orang China Malaysia tidak mahu diingatkan. Bagi saya bahasa Mandarin, seperti juga bahasa Arab, Jepun, Jerman dan lain-lain perlu digalakkan untuk rakyat Malaysia. Bagi orang Melayu yang beragama Islam bahasa Arab patut diwajibkan.

19. Oleh kerana bahasa Mandarin tidak ada dalam perlembagaan maka kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu telah membuat akta untuk memberi tempat kepada bahasa Mandarin dalam negara ini. Tidak ada negara lain yang dipimpin oleh bangsa lain di dunia yang berbuat demikian. Malahan Biro Tatanegara yang dikritik oleh bukan Melayu baru-baru ini telah ditubuhkan, pada waktu, akta ini hendak dibuat supaya orang Melayu menerima usaha meletak bahasa Mandarin pada tempatnya sekarang.

RUKUN NEGARA

20. Sebelum DEB diperkenalkan usaha kearah perpaduan negara diberi keutamaan dengan memperkukuhkan ingatan kepada Wasiat Raja-Raja Melayu dan memperkenalkan Rukun Negara pada 31 Ogos, 1970 yang kandungannya seperti berikut:

i. Kepercayaan kepada Tuhan,

ii. Kesetiaan kepada Raja dan Negara,

iii. Keluhuran Perlembagaan,

iv. Kedaulatan Undang-Undang,

v. Kesopanan dan Kesusilaan.

MATLAMAT DASAR EKONOMI BARU

21. Dasar Ekonomi Baru mempunyai dua matlamat iaitu:

a. Mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan

b. Mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

22. Kedua fungsi DEB ini sebenarnya menguntungkan semua kaum, tetapi kerana kemiskinan itu dianggap sebagai monopoli orang Melayu dan kalangan Bumiputera ramai terlupa bahawa orang China dan India juga ada yang miskin. Membasmi kemiskinan adalah satu fungsi 1Malaysia samada rancangan ekonomi itu digelar 'dasar' atau 'model'.

23. Dalam usaha untuk menyusun semula masyarakat kerajaan di bawah DEB telah menentukan matlamat 30% dari ekuiti sektor swasta perlu dimiliki oleh Bumiputra. Pada mulanya ekuiti ini cuba dibahagikan kepada sebanyak Bumiputera yang mampu membelinya, tetapi, kerana daya tahan Bumiputera untuk menyimpan ekuiti ini terlalu lemah, maka perbadanan-perbadananlah yang telah memegangnya.

DASAR PEMBANGUNAN NEGARA ( DPN )

24. Apabila tamat tempoh Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1990 Tun Dr. Mahathir telah memperkenalkan Dasar Pembangunan Negara ( DPN ) yang bermula pada tahun 1991 dan merupakan tunjangan dasar yang bersemangat dan berjiwakan DEB. Fokus DPN tetap -

i. Membasmi golongan miskin, dan

ii. Menyusun semula masyarakat..
25. Objektif DPN pula ialah:

i. Memperkukuhkan kestabilan negara dari segi ekonomi, sosial dan politik melalui pembangunan bandar dan luar bandar.

ii. Menjadi negara maju dan mengukuhkan keadilan sosial, nilai etika, moral, kualiti hidup dan mengamalkan prinsip pentadbiran yang adil dan kecemerlangan ekonomi.

PELAKSANAAN DEB DAN DPN YANG PRAGMATIK

26. Banyak hasil telah dinikmati dengan pelaksanaan DEB dan DPN walaupun seluruh matlamatnya belum tercapai.

27. Dengan pelaksanaan dasar ekonomi yang pragmatik kita telah berjaya menempuh Krisis Ekonomi Asia pada tahun 1997. Malahan cara Malaysia mengendali ekonominya yang bertentangan dengan kehendak Bank Dunia dan IMF kita sudah menjadi contoh di dunia dan menjadi mata pelajaran di Universiti Harvard di Amerika Syarikat. Kita perlu kembali ke Universiti Harvard untuk mempelajari dari mereka sebab-sebab mereka mempelajari cara kita.

28. Tetapi, kegagalan mencapai matlamat DEB, dengan sepenuhnya, telah memberi berbagai kesempatan kepada berbagai pihak untuk membuat berbagai andaian keatas sebab kegagalannya berlaku.

KECERMELANGAN PRESTASI DALAM PILIHANRAYA TAHUN 2004

29. Kejayaan cemerlang dalam Pilihanraya Umum ke 11 pada tahun 2004 adalah penyebab bermulanya semua masalah yang sedang dihadapi sekarang ini. Masalah ini berlaku kerana 'kerakusan kuasa' yang ada pada pemimpin negara di waktu itu.

30. Banyak pihak telah memberi ingatan kepada Tun Dr. Mahathir di waktu beliau sedang berfikir untuk memilih penggantinya. Dengan semua kelemahan dari segi ilmu, keberanian dan pengalaman yang terbatas, keputusan Tun Dr. Mahathir adalah berasaskan kepada keyakinannya bahawa penggantinya, sebagai tokoh yang berbudi, dapat dibantunya, kerana Sri Perdana dan Yayasan Kepimpinan Perdana letaknya berdekatan di Putrajaya.

31. Tun Dr. Mahathir sedar mengenai pandangan Sigmund Freud mengenai nafsu, pandangan Karl Marx mengenai harta dan kekayaan dan pandangan Bertrand Russsel mengenai kuasa yang boleh membawa perubahan kepada watak manusia. Sementara itu Tun Dr. Mahathir juga sedar dengan adanya agama seseorang pasti dapat mengendalikan nafsu, harta dan kuasa secara halal, tertib dan bersopan.

32. Tun Dr. Mahathir tidak boleh selalu disalahkan kerana silap memilih pengganti, kerana UMNO-lah yang menentukan pengganti itu kerana meletakkannya di barisan pemimpin parti. Rakyat juga telah memberi kepercayaan dengan kemenangan besar BN dalam Pilihanraya Umum 2004.

AKIBAT PRESTASI BURUK DALAM PILIHANRAYA TAHUN 2008

33. Akibat dari prestasi yang paling buruk dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008 berbagai program dan institusi telah dijadikan sasaran, antaranya:

i. Institusi Raja-raja Melayu

ii. Institusi Kehakiman

iii. Konsep ketuanan Melayu, dan

iv. Dasar Ekonomi Baru
34. Pemimpin yang gagal mengendalikan negara dengan baik, sehingga dilanda kekalahan dalam pilihanraya tahun 2008, telah menyalahkan institusi dan dasar yang berjasa dan yang selama ini telah membawa kepada kesetabilan politik, kemajuan dan keamanan negara.

35. Untuk menawan hati pembangkang maka segala usaha telah dijalankan untuk mengorbankan kepentingan dan maruah Melayu sedangkan pihak pembangkang tidak akan puas selagi mereka tidak menduduki PUTRAJAYA.

HARAPAN UNTUK MASA DEPAN

36. Tujuan ucapan saya pada hari ini hanya untuk untuk meminta pihak kerajaan supaya mengikat Model Ekonomi Baru kepada roh, semangat dan jiwa Dasar Ekonomi Baru sebagaimana Tun Dr. Mahathir telah menambatkan Dasar Pembangunan Negaranya kepada roh, semangat dan jiwa Dasar Ekonomi Baru.

37. Segala pembaharuan hendaklah untuk memperbaiki dan bukan untuk mencemoh dan menghina dasar pusaka ini. Pusaka dari ibu bapa kita sendiri. Yang penting ialah pelaksanaannya hendaklah oleh pemimpin, pengurus dan pentadbir yang amanah, berani, disiplin, rajin dan setia. Kita tidak perlu menunjukan kejahilan kita sehingga kita minta pembohong bangsanya sendiri, seperti Tony Blair, yang bertanggungjawab atas pembunuhan ke atas jutaan umat di Iraq dan Afghanistan, yang tidak pernah berjaya memimpin ekonomi negaranya sendiri, untuk menasihati kita atas cara untuk berekonomi. Kita juga tidak perlu terus menyanjung pengkhianat negara yang sanggup mengorbankan 2 kolam minyak yang sangat berharga.

38. Segala dasar dan model yang bukan Dasar Ekonomi Bebas, yang sebebas-bebasnya, sebagai warisan penjajah, adalah dasar dan model baru namanya.


Tan Sri Sanusi bin Junid,
Ahli Dewan Tertinggi Pakku,
Memorial Tun Hussein Onn,
Kuala Lumpur.

1 comment:

Wake UP! said...

Kita mengeluarkan Singapura untuk mempertahankan hak orang Melayu tapi hari ini Anwar Ibrahim sanggup memberikan TPM 2 kepada DAP.

Ini bermakna secara tak langsung DAP menjadi PM kerana sudah tentu jumlah kerusi DAP lebih dari PKR.

Allow flotilla to deliver humanitarian aid.

Thought Of The Day

"Friendship improves happiness, and abates misery, by doubling our joys and dividing our grief...You wil always rise in life to the level of responsibility that you are willing to accept"

Selalu ada yang baru...



FOREX MARKET

FOREX MARKET

FOREX INVESTMENT

Forex exchange online.

Konsep Pelaburan Mesrawang/ jaminan modal.
Trader : Pakmie/Aris Danial
Email : Arisfx@yahoo.com
Berurusan contact +019 9947815
Sms +016 9217815


Rangkaian Traders
Malaysia ( Sabah, Serawak )
Indonesia
Brunei
Thailand
Singapore
Australia
Belanda

PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI - DAN TAK AKAN SELESAI!

'Kenapa PaKMie memilih untuk membela MELAYU? PaKMie yakin, Allah melindungi agamanya dan agama bebas untuk semua bangsa. MELAYU hanya mempunyai TANAH MELAYU (MALAYSIA) sebagai tanah air meraka. Kenapa kita perlu memberi hak-hak kita kepada orang asing? Perlembagaan Malaysia sudah cukup adil bagi kesemua rakyat di Malaysia, tak kira Melayu, Cina ataupun India kesemuanya akan dibela dan diberikan pengadilan yang saksama. Pertualang Bangsa dan bayangan Dajjal patut hapuskan dan makhluk laknat ini harus ditentang sehingga dibuang negara dan dilenyapkan dimuka bumi Allah ini!...'

BERJUANGLAH! agar disaat kau menghembus nafas yang terakhir kau tersenyum dan orang lain menangis..

BERJUANGLAH! agar disaat kau menghembus nafas yang terakhir kau tersenyum dan orang lain menangis..