KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akur dengan
pendirian Pas Pusat yang memutuskan tidak akan bermuzakarah dengan Umno.
Sehubungan itu, Nik Abdul Aziz berkata, beliau menarik balik hasrat
untuk bermuzakarah kerana wujud terlalu banyak pandangan yang
bercanggah.
"Tak usah, tak usah, kita berjemaah ni kena turut tok imam," kata beliau
selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, hari ini.
Pada 16 Mei lalu, Nik Abdul Aziz berkata, Pas sentiasa bersikap pintu
terbuka untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja termasuk Umno.
Malah katanya, beliau bersetuju jika ia muzakarah dengan Umno dalam masa
terdekat untuk menyelesaikan pelbagai isu, namun bergantung kepada
parti berkenaan untuk merealisasikan hasrat tersebut.
“Muzakarah adalah fitrah manusia untuk menyelesaikan sesuatu perkara dan
saya sendiri mengamalkan sejak dulu lagi, saya bersetuju jika ia
diadakan dengan (dengan Umno),” katanya.
Dua hari lalu, Nik Abdul Aziz berkata, beliau tetap mahu mengadakan
muzakarah dengan Umno meskipun tidak mendapat persetujuan ahli
jawatankuasa tertinggi parti termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi
Awang.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, pertemuan itu penting bagi
menentukan hala tuju dan matlamat perjuangannya untuk menegakkan syiar
Islam.
“Ini keputusan saya dan tidak ada kena-mengena dengan orang lain, jadi
saya tak kisah walau ada yang tidak bersetuju. Kita mesti letak syarat
bagi menjelaskan maksud sebenar kita mengadakan muzakarah,” katanya.
Dua hari sebelum itu, Abdul Hadi mengumumkan bahawa tidak akan ada
muzakarah dengan Umno dalam masa terdekat kecuali dengan
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.
Sinar