DAP anggap PAS tiada hak cakap bagi pihak pakatan pembangkang isu hudud
KUALA
 LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang tidak berhak bercakap bagi 
pihak pakatan pembangkang dengan menyatakan pembangkang akan 
melaksanakan hukum hudud jika memerintah negara.
Saya berharap Hadi berhenti daripada membuat kenyataan yang akan 
menjejaskan prospek pakatan untuk membentuk kerajaan dan memenangi lebih
 daripada lima negeri yang dimenangi pada pilihan raya lalu. - Karpal 
Singh, Pengerusi DAP
“Adalah dikesali, Hadi kebelakangan ini membuat kenyataan yang kemudian 
ditarik balik. Baru-baru ini, beliau berkata Perlembagaan Persekutuan 
akan dipinda untuk menggantikan Islam sebagai agama rasmi dengan Addin, 
walaupun Perlembagaan secara khusus memasukkan Islam sebagai agama 
rasmi.
“Kemudian beliau menyatakan tidak membuat cadangan 
sedemikian. Saya berharap Hadi berhenti daripada membuat kenyataan yang 
akan menjejaskan prospek pakatan untuk membentuk kerajaan dan memenangi 
lebih daripada lima negeri yang dimenangi pada pilihan raya lalu,” 
katanya dalam   kenyataan akhbar, semalam.
Karpal juga 
mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa hukum hudud tidak boleh 
dilaksanakan di Malaysia kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan 
Persekutuan.
Akhbar semalam melaporkan   Hadi sebagai berkata
 jika pakatan pembangkang memerintah negara, hukum hudud hanya akan 
dilaksanakan apabila masalah pengangguran dan kemiskinan diselesaikan, 
serta  penetapan gaji minimum dilaksanakan. 
Beliau juga mendakwa ia sudah dibincangkan dengan DAP dan PAS 
tetap akan melaksanakannya walaupun tidak dipersetujui oleh sekutunya 
itu.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika
 diminta mengulas, berkata Karpal tidak perlu campur tangan dan bimbang 
kerana undang-undang hudud tidak membabitkan bukan Islam.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa 
Awang tidak bersetuju dengan kenyataan  Hadi mengenai masalah 
pengangguran dan kemiskinan di Malaysia.
Beliau berkata, 
masalah pengangguran dan kemiskinan tidak ada kaitan untuk menangguhkan 
hukum hudud kerana rakyat tidak menghadapi kebuluran sehingga 
menyebabkan mereka terpaksa mencuri untuk hidup kerana sumber rezeki 
amat luas di Malaysia.
Katanya, kebanyakan kes mencuri di 
Malaysia berlaku atas keinginan pelaku untuk hidup mewah dan mengikut 
nafsu, manakala kebanyakan masalah pengangguran berpunca daripada sikap 
malas berusaha dan memilih kerja.
“Tidak ada halangan untuk 
PAS melaksanakan hukum hudud. Dalam soal ini, tidak perlu 
berdolak-dalih, seolah-olah sengaja hendak meraih undi,” katanya.
Seorang lagi pengamal undang-undang syariah, Mohamad Isa Abd Ralip, 
menyifatkan kenyataan  Hadi tidak berasas sama sekali kerana Malaysia  
negara yang makmur sehingga dijadikan lubuk emas oleh ramai pendatang 
asing. 
Berita Harian  

No comments:
Post a Comment