Penggunaan kalimah Allah oleh suratkhabar Herald terus menjadi bualan sementara menunggu rayuan Kementerian Dalam Negeri di mahkamah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengeluarkan titah perintah yang spesifik untuk negeri itu.


Baginda selaku Ketua Agama Negeri tidak membenarkan pengunaan kalimah Allah oleh agama lain di Selangor.

Titah itu disampaikan kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa dalam pertemuan beliau serta Mufti Selangor Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid dan pegawai tinggi MAIS dengan baginda di Istana Mestika pada 5 Januari lalu.

Pendirian baginda itu bertujuan memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat di Selangor.

Mohamad Adzib memberitahu demikian kepada wartawan selepas majlis taklimat dan perbincangan dengan 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di masjid negeri di Shah Alam Isnin.

Serentak dengan itu Mohamad Adzib memberitahu bahawa MAIS berpendirian keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya ini kerana Perlembagaan menetapkan Islam agama rasmi Persekutuan dan keputusan itu juga bertentangan dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang digubal berasaskan Perkara 11(4) Perlembagaan negara.

Beliau berkata mahkamah bukan forum sesuai untuk membicarakan aoal pengunaan kalimah Allah.

Ini kerana ia perkara ‘ non-justiciable’ di bawah bidang kuasa raja-raja Melayu.

Pengerusi MAIS itu memberitahu lagi bahawa turut meminta MAIS memaklumkan kepada rakyat tentang wujudnya undang-undang menghalang pengunaan kalimah Allah dalam agama bukan Islam.

Larangan itu termaktub dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan sejak 1988.

Malah, jelas beliau, larangan juga diputuskan Jawatankuasa Fatwa negeri pada 10 Jun 2008 yang memutuskan kalimah Allah khusus untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan atau dimasukkan dalam agama lain.

Mohamed Adzib turut memohon campur tangan Majlis Raja-raja selaku Ketua Agama Islam negeri-negeri selaras sumpah raja-raja Melayu untuk mempertahankan Islam pada setiap masa.

Beliau menegaskan Kerajaan Persekutuan perlu menetapkan kes-kes berkaitan agama Islam tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Sivil terutama melibatkan Hakim bukan Islam,” katanya.