Perdana menteri hari ini mengumumkan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan.
Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.
"Dengan demikian rakyat Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar.
"Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.
"Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia," katanya. Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia apabila Sabah dan Serawak telah menyertai Malaysia pada 1963.
No comments:
Post a Comment