Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keadaan negara akan menjadi malap dan buruk sekiranya pentadbiran kerajaan berpindah daripada BN kepada pembangkang kerana kebanyakan pemimpin pembangkang sanggup menukar pendirian semata-mata untuk mendapat populariti dan sokongan rakyat.
Katanya ada juga dalam kalangan mereka sanggup menghalalkan sesuatu yang dulunya mereka anggap haram semata-mata untuk memuaskan hati musuh yang kini menjadi rakan dalam pakatan pembangkang.
"Dulu PAS kata kerjasama dengan bukan Islam akan jadi kafir, sekarang bukan sahaja mereka bekerjasama dengan bukan Islam, tapi dia kata ternak babi pun tak apa, tapi orang Islam tak boleh makan babi.
"Dia (PAS) ambil tafsiran dalam Al-Quran kata (orang Islam) tak boleh makan babi, dia tak kata tak boleh ternak (babi).
"Kalau dah ambil tafsiran macam tu, maknanya kita boleh ternak, kita boleh jual babi, kita boleh masak babi, tapi jangan makan, pasal nak setuju jugak dengan orang ini, kita sanggup tukar pendirian kita sama sekali," katanya kepada pemberita di Dungun hari ini.
Beliau sebelum itu menyampaikan wacana bertajuk "Dari Minda Tun, Ketuanan Melayu" di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu di Dungun hari ini. Turut hadir Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah.
Dr Mahathir berkata Malaysia tidak mampu mempunyai pemimpin yang tidak berpendirian dan hanya mencari populariti diri.
"Kalau orang macam ini jadi pemimpin, susahlah," katanya.
Mengulas masa depan politik Umno selepas ini, beliau berkata parti itu masih relevan namun pemimpin dan anggota termasuk dari akar umbinya perlu bijak dan berani dalam bertindak.
"Kalau pemimpin buat sesuatu yang tak baik, mereka perlu suarakan... Saya sangat menyambut baik pelantikan Senator Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
"Sepatutnya ada lebih ramai dilantik dari luar parti berbanding dari dalam parti untuk pegang jawatan," katanya.
Berhubung kemelut yang kini melanda Umno Terengganu, beliau berkata pimpinan tertinggi parti perlu menyelesaikan rasa tidak puas hati yang ditimbulkan pihak-pihak terlibat bagi mengelak wujudnya puak-puak berbeza dalam Umno di negeri itu.
Dalam ucapannya pula, Dr Mahathir menyeru pelajar Bumiputera untuk lebih berani bersaing dengan kaum lain, termasuk memilih untuk belajar di institusi pengajian tinggi swasta yang tidak didominasi oleh Bumiputera seperti UiTM. BERNAMA
3 comments:
Memang ada kebenaran akan pandangan Tun M tetapi amat sukar untuk meyakinkan para penyokong pembangkang kerana Tun M bercakap tidak berlapik dengan ayat Quran atau hadis macam yang dilakukan oleh Pemimpin PAS.
Betul tu Pak Mie,
Tetapi berapa kerat orang Melayu perihatin serta membaca dengan pandangan TUN ?
Kebanyakan orang Melayu lebih suka mendengar ceramah-ceramah maki hamun, fitnah dari memikirkan masa depan negara untuk bangsa Melayu dan agama Islam......
nak wat camner, orang kita terutama PR memang suka mendengar celoteh, maki hamun serta juhah rekaan dengan iringan ayat Quraan & hadith, itu yang memang mereka mahukan...
kalau dah taksub, ape benda pun kakalu kita betulkan @ sangkal, maka melentingkah mereka sebab dalam kepala mereka, yang ada hanyalah kebenaran kepada PR...puak macam ni memang susah nak diinsafkan...orang lain sumer salah, PR je betul...ape punya pemikiranlah...
Post a Comment